Khamis, 16 September 2010

Istimewa: “Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan

Kullu ‘am, wa antum bi khair”
Ucapan yang menyejukkan lubang telinga saya, ketika berada di Masjid University of Yarmouk, untuk Aidilfitri tahun 2008 dan 2009.
Jarang saya dengar kalam-kalam yang membawa kepada maksud “Selamat Hari Raya,” atau “Salam Aidilfitri” dan sebagainya daripada mulut guru-guru saya.
Tetapi ucapan “Kullu ‘am, wa antum bi khair” sering melantun-lantun. Bahkan pada banner yang bergantungan di tepi-tepi jalan. Semuanya memberikan ucapan yang sama.
“Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan” Itu maksudnya.
Akhirnya, saya berjaya menghayati makna ucapan yang menyenangkan jiwa itu.

Ucapan tahniah kepada pemenang
Dilihat-lihat semula, Ramadhan ijazahnya adalah taqwa.
Barangsiapa yang melalui Ramadhan dengan bersungguh-sungguh, maka dirinya akan terdidik dengan satu defensive system dalam menjalani kehidupan. Keimanannya tertingkat, dan peribadinya jadi lebih cantik dari sebelumnya.
Ini adalah hasil dari ketaqwaan yang berjaya diwujudkan di dalam jiwa. Hal ini kerana, taqwa adalah satu perasaan takut untuk melanggar arahan Allah SWT. Maka dengan taqwa, manusia akan bergerak menjaga dirinya dengan lebih ketat. Jangan kata melakukan apa yang Allah larang, bahkan mendekatinya juga dilakukan.
Kita mengetahui, betapa Taqwa adalah sebaik-baik bekal dalam perjalanan kehidupan.
“Dan berbekal lah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa” Surah Al-Baqarah ayat 197.
Dan kita faham bahawa, ijazah taqwa ini, adalah yang hendak dibawa ke sebelas bulan yang lain. Ramadhan adalah kem tarbiyah, untuk kita bawa keluar hasilnya pada bulan-bulan yang lain.
Di sinilah letaknya makna:
“Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan”
Diucapkan pada Aidilfitri, mengingatkan kepada pemenang-pemenang Ramadhan, akan ijazah taqwa yang baru mereka perolehi, yang baru mereka kecapi, agar ijazah taqwa itu berfungsi dalam sepanjang tahun.
Bukankah apabila taqwa itu dimanifestasikan, maka kita akan berada dalam kebaikan?
Ucapan itu bukan hanya doa, tetapi juga adalah peringatan.
Aidilfitri dan hakikat perayaan
Pada hari yang amat gembira, pada hari yang biasanya orang akan berhibur hingga terlupa segala, Islam membina satu arus baru dengan mengajak kita merayakan satu perayaan dengan penuh sederhana dan berpada-pada.
Diriwayatkan oleh Ibn Qayyim Al-Jauziyyah di dalam kitabnya, Zaadul Ma’ad, muka surat 49, bahawasanya pada Solat Aidilfitri, selepas membaca Surah Al-Fatihah, Rasulullah SAW akan membaca Surah Qaaf dan Al-Qamar.
Apakah Surah Qaaf dan Al-Qamar? Itulah dia Surah berkenaan Kiamat dan Hari Pengadilan. Surah yang menggerunkan dan menegakkan bulu roma jika dibaca penuh perasaan dan kefahaman.
Mengapakah pada hari yang sepatutnya manusia bergembira, Rasulullah SAW membaca surah yang sedemikian?
Inilah dia Islam mengajar manusia agar beringat-ingat dan tidak melupa diri.
Dan hakikatnya Aidilfitri itu bukanlah perayaan sebenar-benar perayaan. Perayaan sebenar adalah di akhirat sana. Aidilfitri hanyalah satu ‘checkpoint’, hadiah kegembiraan kecil, yang Allah berikan. Maka keseronokannya tetap perlu berpada-pada. Yang haram tetap haram pada hari itu.
Dan di sinilah doa serta peringatan: “Kullu ‘am wa antum bi khair” menjadi sangat bermakna.
Aidilfitri hanyalah pada satu syawal. Ia hanyalah perayaan satu hari sahaja. Selepas 1 Syawal, masih ada lagi kehidupan. Masih wujud lagi mehnah dan tribulasi. Masih perlu menjadi hamba Allah SWT dan taat kepadaNya. Masih perlu patuh kepada Allah dan menjauhi laranganNya.
“Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan”
Taqwa bergetar mendengarnya. Sepanjang tahun. Bukan Aidilfitri sahaja.
Seakan-akan ia membawa maksud: “Bersiaplah kamu, untuk berusaha meletakkan diri kamu sepanjang tahun ini dengan kebaikan, menggunakan bekalan taqwa yang telah kamu perolehi dari Ramadhan yang berakhir semalam”
MasyaAllah!
Sudah. Cukuplah dengan permainan selama ini!
Sudah berapa kali Ramadhan kita lalui?
Sudah berapa kali Aidilfitri kita langkahi?
Sudah berapa tahun kita hidup di atas muka bumi?
Bagaimanakah hubungan kita dengan Allah? Sistem hidup apakah yang kita gunakan? Peraturan hidup manakah yang kita pakai? Akhlak siapakah yang kita ambil menjadi turutan? Tatacara hidup manakah yang kita jadikan pedoman?
Tanya diri. Tanya diri. Apakah dari tahun ke tahun kita semakin dekat dengan Allah? Apakah dari tahun ke tahun kita semakin taat kepadaNya? Apakah dari tahun ke tahun kita semakin sedar akan hakikat keperluan kita untuk tundu kepadaNya?
Atau tahun demi tahun, kita lalui Ramadhan dan Aidilfitri sekadar adat dan tradisi sahaja? Menganggapnya sebagai rutin tahunan yang tiada makna?
Sudah. Cukuplah dengan permainan kita selama ini.
Apakah belum tiba masanya kita benar-benar mengambil perkara ini dengan serius?
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka. Surah Al-Hadid ayat 16.
Apakah belum tiba masanya?
Penutup: Maka di sini, saya mengucapkannya kepada diri saya dan anda
Maka, saya di sini mengucapkan, buat diri saya dan anda semua, dengan penuh rasa kasih sayang dan cinta, dengan penuh rasa hormat dan merendah,
“Kullu ‘am, wa antum bi khair”
“Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan”
Saya mohon kemaafan, sekiranya ada tersilap kata dan tersilap tulis, sekiranya saya punya dosa dengan kalian atau kiranya ada saya mengguris hati dan jiwa kalian. Dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki, dari dalam jiwa hingga ke pangkal hati, saya benar-benar memohon kemaafan.
Moga-moga, sebelah bulan yang mendatang, kita benar-benar berada dalam kebaikan.
Benar-benar menjadi hamba.
Hamba Ilahi Yang Sejati!
Amiiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan