Jumaat, 17 September 2010

Alasan remeh putus tunang







soalan saya
SAYA berusia 26 tahun dan mengikat tali pertunangan pada Julai lalu. Keluarga kami setuju menikahkan kami pada Disember tahun ini. Malangnya baru-baru ini tunang saya membatalkan pernikahan kami.
Dia menyatakan belum bersedia menunaikan tanggungjawab sebagai isteri. Untuk pengetahuan Dang Setia, dia kakitangan kerajaan dan sering sibuk dengan urusan kerja.

Hubungan kami hambar sejak dia bekerja dengan kerajaan hinggakan tiada masa untuk saya. Satu-satunya masa kami bersama di hujung minggu turut diisi dengan dia menyiapkan tugasan kerja.

Saya reda dan faham atas kehendak kerja dia. Saya beri dia ruang dan masa memikirkan sama ada dia sanggup berkorban (meluangkan lebih masa) jika kami berkahwin.

Seperti saya nyatakan tadi, dia membatalkan pernikahan kami kerana tidak sanggup berkorban. Lain-lain sebab adalah kami sering bergaduh kerana dia tidak dapat meluangkan masa untuk bersama saya dan dia katakan saya sering mendesaknya menutup aurat dengan sempurna.

Sudah pasti saya tidak mahu bakal isteri saya mendedahkan auratnya pada yang bukan muhrim. Saya banyak berkorban untuk dia tetapi dia tidak sanggup berkorban untuk saya. Saya sedar saya banyak memaksa dia.

Saya benar-benar cinta dan sayangkan dia. Kami kenal empat tahun tetapi dia memilih untuk berpisah kerana tidak sanggup berkorban. Harap Dang Setia dapat memberi nasihat kepada saya.

jwp
Dang Setia
Bagi menjawab masalah saudara, Dang Setia ingin merujuk kepada buku Petua Orang Cemerlang oleh pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Petua ke-32 daripada 55 petua dalam buku itu ada menyebut, orang cemerlang sentiasa kreatif dalam menyelesaikan masalah seperti pepatah Inggeris ‘think out of the box’. Penyelesaian masalah sering berpunca daripada sumber yang tidak disangka-sangka.

Merujuk kepada masalah saudara, Dang Setia berpendapat saudara perlu mengkaji sebab sebenar mengapa bekas tunang saudara membatalkan perkahwinan dan tidak menerima bulat-bulat alasannya iaitu belum bersedia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.

Ini kerana logik akal seorang yang neutral seperti Dang Setia sukar mempercayai alasan diberi bekas tunang saudara. Alasan diberikannya seolah-olah ingin melarikan daripada realiti sebenar, iaitu hatinya sudah berbelah bagi.

Maaf kerana Dang Setia berpendapat sedemikian. Jika saudara sukar menerima kenyataan itu, cuba siasat masalah sebenar bekas tunang saudara, mungkin ada udang di sebalik batu.

Seperkara lain, sukar untuk mempercayai alasan bekas tunang saudara iaitu dia sibuk dengan tugasannya sebagai kakitangan kerajaan. Sesibuk mana pun seseorang individu, kalau hatinya sudah berpunya dan bertaut erat, dia pasti mampu meluangkan masa bersama teman tersayang. Itu adalah lumrah dunia.

Jika siasatan saudara masih menemui jalan buntu, elok rasanya saudara bersemuka dengan bekas tunang dan minta jasa baiknya memberi penjelasan sebenar, mungkin untuk sekian kalinya.

Jawapan diberi mungkin menyakitkan hati, tetapi itulah hakikat kehidupan. Setiap individu pasti berdepan masalah, tetapi sejauh mana kemampuan kita mengatasi masalah, itu yang membezakan individu cemerlang.

Petua ke-48 dalam buku itu pula ada menyebut orang cemerlang sentiasa fokus pada prioriti (keutamaan) yang seimbang. Sukar mencapai kejayaan hakiki apabila kita mengabaikan satu aspek dalam kehidupan kita.

Keutamaan utama saudara sekarang ialah mengatasi masalah peribadi itu terlebih dulu. Selesaikannya secepat mungkin supaya saudara dapat memandang ke depan.

Banyak cara untuk menyelesaikan, antaranya mencari pengganti bekas tunang saudara secepat mungkin. Letakkan sasaran dan tanamkan azam pada diri bahawa saudara mampu mencari pengganti lebih baik untuk dijadikan isteri.

Pada usia 26 tahun dan sebagai lelaki, saudara masih ada banyak masa. Justeru, jangan terburu-buru mencari isteri terbaik. Mungkin filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee bertajuk ‘Musang berjanggut’ boleh dijadikan panduan.

Sebagai anak raja, dia mengembara untuk mencari perempuan dan bukan betina. Justeru, akhirnya dia bertemu Puspa Wangi yang lengkap dijadikan permaisuri hidupnya. Dang Setia doakan moga saudara juga bakal beroleh jodoh terbaik, mungkin bukan dengan bekas tunang saudara.

kisah iskandar Zulkarnain

 

Zulkarnain (Bahasa Arab ذو القرنين dhū al-Qarnayn [ðulqarˈnajn]), secara harfiahnya bermaksud "Dia yang Bertanduk Dua", merupakan satu tokoh yang disebutkan di dalam Qur'an, iaitu kitab suci Islam yang menyatakan beliau sebagai pemerintah yang hebat dan adil yang membina tembok pengantara Yakjuj dan Makjuj dari menyerang orang yang di Barat. Mengikut sejarah, Zulkarnain dikatakan sebagai Iskandar Agung (Alexander dari Macedonia) tetapi ia hanyalah pendapat paling sekular dan disangkal sendiri oleh para ulama dan sarjana Islam yang mengatakan Zulkarnain adalah Cyrus Agung. Gelaran tersebut turut terkenal di kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam yang boleh dikatakan telah digunakan sekurang-kurangnya tiga orang raja yang berbeza.


Timbulnya persoalan

Persoalan tentang Zulkarnain tercatat dalam sirah nabawiyah (sejarah Nabi) dan tertulis dalam sirah Ibnu Ishaq yang menceritakan bahawa musyrikin Makkah meminta bantuan Yahudi Khaibar untuk mencari kelemahan Muhammad S.A.W. Ketika Nadr mengatakan hal tersebut kepada mereka, mereka mengirim dia dan Uqbah bin Abu Muit kepada rabai Yahudi di Madinah. Untuk membuktikan kenabian, rabai tersebut akan mengajukan tiga soalan yang sekiranya dijawab dengan betul, maka itu membuktikan akan baginda seorang nabi dan begitu juga sebaliknya. Persoalan yang ditanyakan ialah:
  1. Tentang beberapa anak muda di zaman dahulu yang ceritanya amat pelik dan menakjubkan.
  2. Tentang seorang lelaki yang merupakan pengembara hebat yang telah sampai ke timur dan barat.
  3. Tentang Roh.
Baginda Muhammad s.a.w. meminta masa untuk menjawabnya dan selepas diturunkan wahyu, semuanya telah terjawab melalui surah al-Kahfi.

Sedutan Quran

Berikut merupakan petikan tafsir dari surah al-Kahfi yang menceritakan tentang Zulkarnain.
83 Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya.
84 Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
85 Lalu dia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).
86 Sehingga apabila dia sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur dan dia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): Wahai Zulkarnain! Pilihlah samada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka.
87 Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
88 Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati.
89 Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.
90 Sehingga apabila dia sampai di daerah matahari terbit, dia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.
91 Demikianlah halnya dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.
92 kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.
93 Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.
94 Mereka berkata: Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?
95 Dia menjawab: (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.
96 Bawalah kepadaku ketul-ketul besi; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: Tiuplah dengan alat-alat kamu sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.
97 Maka, mereka tidak dapat memanjat tembok itu dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
98 (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur dan adalah janji Tuhanku itu benar.
 

Bertanduk dua?

Sesetengah pihak berpendapat gelaran "Zulkarnain" bermaksud "bertanduk dua", yang secara tersiratnya merujuk kepada syiling yang ditempa untuk Iskandar Agung mahupun ukiran dinding Cyrus Agung. Pentafsir Quran abad ke-14 memberikan sebab yang berbeza. Dalam Tafsir Ibn Kathir menyatakan, "sesetengah mereka memanggilnya Zulkarnain kerana dia mencapai dua "tanduk" (batas) matahari, timur dan barat, tempat ia terbit dan terbenam."

Tambahan pula, nama Zulkarnain juga diterjemahkan menjadi "dia yang berketurunan dua", "dia yang hidup hingga dua kurun", "dia yang memiliki dua kerajaan" ataupun "pemerintah dua kerajaan". Banyak yang mentafsirkan perkataan tersebut dengan maksud yang berbeza.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan "bertanduk dua" bermaksud menggabungkan 2 negeri.


Perbezaan Antara Iskandar Agung dan Zulkarnain

Hasil kajian ilmuan dan sarjana Islam seperti Seyyed Ahmad Khan (pentafsir Quran terkenal), Molana Abolkalam Azad (Menteri Kebudayaan India), Baha'eddin Khomrashahi dan Dr. Muhammad Ebrahim Bastabi Parizi menyangkal bahawa Zulkarnain adalah Iskandar Agung. Mereka lebih mengesyaki yang Zulkarnain adalah Cyrus Agung iaitu raja empayar Parsi Arkaemenia. Mereka memberikan bukti-bukti kukuh termasuk artifak tulisan dan ukiran pada batu istana dan kubur. Berikut merupakan bukti yang dinyatakan:
  1. Ukiran pada batu yang masih dapat dilihat hingga kini yang memaparkan Cyrus dengan mahkotanya yang mempunyai tanduk.
  2. Menurut Qur'an, rahmat Tuhan diberikan bersamanya dan dengan itu, Cyrus merupakan raja pertama (beberapa ratus tahun sebelum Iskandar Agung) yang menakluki sebahagian besar Eropah dan Asia.
  3. Cyrus (seperti juga Zulkarnain) menyembah satu Tuhan tetapi Iskandar Agung mempunyai banyak dewa-dewi.
  4. Di dalam al-Qur'an tercatat perjalanan Zulkarnain iaitu bermula ke Barat lalu ke Timur sebelum ke jalan yang lain (iaitu Utara) yang bertepatan dengan ekspedisi Cyrus yang memulakan penaklukan di Barat Parsi hingga ke Lydia di Asia Kecil kemudian berpatah ke timur sehingga Makran dan Sistani (Scythian) sebelum ke Timur Laut menawan Eropah berhampiran Balkan.
  5. Ekspedisi Cyrus diteruskan dengan penaklukan Lycia, Cilicia dan Phoenicia, dan mereka menggunakan teknik pembinaan tembok yang belum digunakan lagi oleh orang Yunani ketika itu.
  6. Menurut al-Qur'an, pengembaraan Zulkarnain dimudahkan dan kebetulan lagi bagi Cyrus, beliau sempat menamatkan ekspedisinya kali itu pada 542 SM, sebelum pulang ke Parsi manakala Iskandar masih dalam misi menakluknya ketika dia mati.
  7. Keperibadian Iskandar juga dikatakan tidak seperti yang dikatakan mulia apabila Iskandar sendiri sering berpesta arak dan juga mempunyai seorang lelaki, Haphaeston, sebagai kekasihnya.
 

Khamis, 16 September 2010

kelebihan seorang wanita.. sebarkan...

kelebihan seorang wanita..


Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali, Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh, Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang jahat, 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil, Wanita yang memberi minum susu dada kepada anaknya akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah didalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.


Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat. Wanita yang memerah susu binatang dengan "bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan. Wanita yang menguli tepung gandum dengan "bismillah", Allah akan berkatkan rezekinya. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di baitullah. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami, Allah akan mengizinkannya untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia suka.

Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada sianghari. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin,dia akan dikira sebagai mati syahid. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 tahun), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya. Jika wanita memberi susu dadanya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala 7 tola perak. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

air mata palestina

Istimewa: “Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan

Kullu ‘am, wa antum bi khair”
Ucapan yang menyejukkan lubang telinga saya, ketika berada di Masjid University of Yarmouk, untuk Aidilfitri tahun 2008 dan 2009.
Jarang saya dengar kalam-kalam yang membawa kepada maksud “Selamat Hari Raya,” atau “Salam Aidilfitri” dan sebagainya daripada mulut guru-guru saya.
Tetapi ucapan “Kullu ‘am, wa antum bi khair” sering melantun-lantun. Bahkan pada banner yang bergantungan di tepi-tepi jalan. Semuanya memberikan ucapan yang sama.
“Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan” Itu maksudnya.
Akhirnya, saya berjaya menghayati makna ucapan yang menyenangkan jiwa itu.

Ucapan tahniah kepada pemenang
Dilihat-lihat semula, Ramadhan ijazahnya adalah taqwa.
Barangsiapa yang melalui Ramadhan dengan bersungguh-sungguh, maka dirinya akan terdidik dengan satu defensive system dalam menjalani kehidupan. Keimanannya tertingkat, dan peribadinya jadi lebih cantik dari sebelumnya.
Ini adalah hasil dari ketaqwaan yang berjaya diwujudkan di dalam jiwa. Hal ini kerana, taqwa adalah satu perasaan takut untuk melanggar arahan Allah SWT. Maka dengan taqwa, manusia akan bergerak menjaga dirinya dengan lebih ketat. Jangan kata melakukan apa yang Allah larang, bahkan mendekatinya juga dilakukan.
Kita mengetahui, betapa Taqwa adalah sebaik-baik bekal dalam perjalanan kehidupan.
“Dan berbekal lah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa” Surah Al-Baqarah ayat 197.
Dan kita faham bahawa, ijazah taqwa ini, adalah yang hendak dibawa ke sebelas bulan yang lain. Ramadhan adalah kem tarbiyah, untuk kita bawa keluar hasilnya pada bulan-bulan yang lain.
Di sinilah letaknya makna:
“Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan”
Diucapkan pada Aidilfitri, mengingatkan kepada pemenang-pemenang Ramadhan, akan ijazah taqwa yang baru mereka perolehi, yang baru mereka kecapi, agar ijazah taqwa itu berfungsi dalam sepanjang tahun.
Bukankah apabila taqwa itu dimanifestasikan, maka kita akan berada dalam kebaikan?
Ucapan itu bukan hanya doa, tetapi juga adalah peringatan.
Aidilfitri dan hakikat perayaan
Pada hari yang amat gembira, pada hari yang biasanya orang akan berhibur hingga terlupa segala, Islam membina satu arus baru dengan mengajak kita merayakan satu perayaan dengan penuh sederhana dan berpada-pada.
Diriwayatkan oleh Ibn Qayyim Al-Jauziyyah di dalam kitabnya, Zaadul Ma’ad, muka surat 49, bahawasanya pada Solat Aidilfitri, selepas membaca Surah Al-Fatihah, Rasulullah SAW akan membaca Surah Qaaf dan Al-Qamar.
Apakah Surah Qaaf dan Al-Qamar? Itulah dia Surah berkenaan Kiamat dan Hari Pengadilan. Surah yang menggerunkan dan menegakkan bulu roma jika dibaca penuh perasaan dan kefahaman.
Mengapakah pada hari yang sepatutnya manusia bergembira, Rasulullah SAW membaca surah yang sedemikian?
Inilah dia Islam mengajar manusia agar beringat-ingat dan tidak melupa diri.
Dan hakikatnya Aidilfitri itu bukanlah perayaan sebenar-benar perayaan. Perayaan sebenar adalah di akhirat sana. Aidilfitri hanyalah satu ‘checkpoint’, hadiah kegembiraan kecil, yang Allah berikan. Maka keseronokannya tetap perlu berpada-pada. Yang haram tetap haram pada hari itu.
Dan di sinilah doa serta peringatan: “Kullu ‘am wa antum bi khair” menjadi sangat bermakna.
Aidilfitri hanyalah pada satu syawal. Ia hanyalah perayaan satu hari sahaja. Selepas 1 Syawal, masih ada lagi kehidupan. Masih wujud lagi mehnah dan tribulasi. Masih perlu menjadi hamba Allah SWT dan taat kepadaNya. Masih perlu patuh kepada Allah dan menjauhi laranganNya.
“Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan”
Taqwa bergetar mendengarnya. Sepanjang tahun. Bukan Aidilfitri sahaja.
Seakan-akan ia membawa maksud: “Bersiaplah kamu, untuk berusaha meletakkan diri kamu sepanjang tahun ini dengan kebaikan, menggunakan bekalan taqwa yang telah kamu perolehi dari Ramadhan yang berakhir semalam”
MasyaAllah!
Sudah. Cukuplah dengan permainan selama ini!
Sudah berapa kali Ramadhan kita lalui?
Sudah berapa kali Aidilfitri kita langkahi?
Sudah berapa tahun kita hidup di atas muka bumi?
Bagaimanakah hubungan kita dengan Allah? Sistem hidup apakah yang kita gunakan? Peraturan hidup manakah yang kita pakai? Akhlak siapakah yang kita ambil menjadi turutan? Tatacara hidup manakah yang kita jadikan pedoman?
Tanya diri. Tanya diri. Apakah dari tahun ke tahun kita semakin dekat dengan Allah? Apakah dari tahun ke tahun kita semakin taat kepadaNya? Apakah dari tahun ke tahun kita semakin sedar akan hakikat keperluan kita untuk tundu kepadaNya?
Atau tahun demi tahun, kita lalui Ramadhan dan Aidilfitri sekadar adat dan tradisi sahaja? Menganggapnya sebagai rutin tahunan yang tiada makna?
Sudah. Cukuplah dengan permainan kita selama ini.
Apakah belum tiba masanya kita benar-benar mengambil perkara ini dengan serius?
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka. Surah Al-Hadid ayat 16.
Apakah belum tiba masanya?
Penutup: Maka di sini, saya mengucapkannya kepada diri saya dan anda
Maka, saya di sini mengucapkan, buat diri saya dan anda semua, dengan penuh rasa kasih sayang dan cinta, dengan penuh rasa hormat dan merendah,
“Kullu ‘am, wa antum bi khair”
“Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan”
Saya mohon kemaafan, sekiranya ada tersilap kata dan tersilap tulis, sekiranya saya punya dosa dengan kalian atau kiranya ada saya mengguris hati dan jiwa kalian. Dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki, dari dalam jiwa hingga ke pangkal hati, saya benar-benar memohon kemaafan.
Moga-moga, sebelah bulan yang mendatang, kita benar-benar berada dalam kebaikan.
Benar-benar menjadi hamba.
Hamba Ilahi Yang Sejati!
Amiiin.

Kita percaya bahawa Allah SWT

Kita percaya bahawa Allah SWT adalah pencipta yang unggul. Tiada tandingan. Kehebatannya mencipta seluruh alam ini tidak akan mampu disangkal oleh mereka yang mahu menggunakan akal untuk berfikir.
Bagaimana Allah mencipta dengan teraturnya kejadian manusia, matanya, hidungnya, jari jemarinya, bentuk kakinya, sesuai dengan keperluan kehidupan seorang manusia. Belum dikira lagi betapa halusnya Allah menciptakan pembuluh-pembuluh darah, dan menciptakan ribuan sel serta berbagai sistem, semuanya pula ada tanggungjawab dan tugasan sendiri dalam menggerakkan seorang manusia.
Itu baru manusia. Belum kita lihat pula tumbuhan-tumbuhan yang pelbagai jenis, yang semuanya dicipta sesuai dengan keadaan kehidupan mereka, haiwan-haiwan, langit, gunung ganang, air, tanah, bahan bakar, bintang-bintang, matahari dan bulan, planet-planet. Yang mana di dalam semua itu terdapat jutaan mikro organisma, sistem, yang semuanya punya kehidupan sendiri dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan alam ini bergerak dengan baik. Kalau kita kaji semula, tiada ‘flaw’ dalam sistem yang Allah ciptakan. Semuanya berjalan lancar dan baik.
MasyaAllah. Allahuakbar!
“Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. Surah Al-Mukminuun ayat 14.
Tetapi hairan. Allah telah membuktikan bahawa Dia adalah Pencipta Terhebat, Pengatur Terbaik, dan semua yang diatur olehNya lancar serta berjalan dengan baik, namun ada pula manusia yang mempertikaikan hukum-hukumNya untuk mereka.
Hairan. Bukankah Allah yang menciptakan alam yang cukup sempurna ini, dengan Allah yang menciptakan hukum syara’ itu adalah Allah yang sama?
Tidakkah kamu memerhatikan?

Kamu boleh percaya itu, tetapi kamu tidak boleh percaya ini?
Hairan bukan, apabila kita mampu terpegun dengan kehebatan Allah SWT yang menciptakan oksigen just nice dengan kadar 21%, kadar yang paling sempurna untuk memastikan seluruh kehidupan dapat hidup dengan baik, tetapi kita tidak mampu percaya bahawa arahan Allah SWT untuk menutup aurat itu juga adalah satu arahan yang membawa kebaikan?
Hairan bukan, apabila kita mampu mengakui kebesaran Allah SWT yang menciptakan jarak antara Bumi dan Matahari dalam keadaan just nice, dengan jarak 149,680,000 kilometer, jarak paling sempurna untuk memastikan seluruh kehidupan dapat hidup dengan baik, tetapi kita tidak mampu percaya bahawa segala peraturan dalam Islam yang Allah SWT ciptakan itu perlu ditaati dan dipenuhi?
Telah terbukti bahawa Allah adalah yang tidak akan melakukan sesuatu dengan sia-sia, telah terbukti bahawa Allah SWT apabila mengarahkan sesuatu, arahanNya itu membawa kebaikan.
Lihatlah betapa sempurnanya Allah menyusun segala jenis peredaran di dunia ini. Edaran cakerawala, edaran orbit, pergerakan bintang-bintang, kitaran air, peredaran darah, kitaran tumbuh-tumbuhan kitaran ekosistem dan banyak lagi sistem.
Tetapi kita tidak percaya kepada Peraturan Islam yang Allah susunkan untuk manusia?
Hairan. Hairan.
LaranganNya, semua membawa buruk. SuruhanNya, semua membawa baik
Kalau kita kaji dengan lebih dalam, dan melihat dengan lebih teliti, segala perkara yang Allah suruh kita lakukan akan mendatangkan kebaikan semula kepada diri kita. Kepada manusia kembali.
Allah melarang arak, kita tahu betapa buruknya arak. Kita tahu betapa kemabukan boleh membawa 1001 masalah. Ketagihan arak boleh membawa kepada keruntuhan moral dan jatuhnya taraf kerja. Jika ini bukan satu kenyataan, maka Amerika satu waktu dahulu takkan menggadaikan ratusan billion hanya untuk membasmi masalah ketagihan arak!
Allah melarang mendekati zina, Allah melarang berpakaian tidak menutup aurat, Allah menyuruh kita menjaga batas pegaulan. Hari ini orang bising fasal kes buang bayi, kes rogol, kes anak luar nikah. Tidakkah kita melihat bahawa Allah telah melarang punca kepada semua masalah tadi dari awal lagi?
Allah melarang kita berakhlak buruk kepada sesiapa, Allah haramkan kita mencaci maki, Allah haramkan kita umpat mengumpat keji. Saya yakin tiada siapa gemar dikutuk sesiapa. Saya yakin tiada siapa suka akan pergaduhan yang akhirnya mungkin mengorbankan nyawa dan menghancurkan suasana harmoni. Bukankah Allah telah melarang?
Semua yang Allah larang, perkara-perkara itu membawa keburukan yang kita sendiri tidak suka. Tetapi apakah kita meninggalkan semua larangan Allah? Dan tidakkah kita lihat, dengan patuh kepada Allah, itu dengan sendirinya membawa kebaikan yang bukan sedikit kepada kita?
Hatta dalam perkara seperti solat, yang kelihatannya seakan manfaatnya adalah kepada Allah kerana kita membesarkanNya, hakikatnya bukan untuk Allah kerana Allah tetap Maha Besar tanpa solat kita. Tetapi kerana Allah faham manusia itu memerlukan pergantungan, maka pergantungan terhebat adalah kepada Tuan Punya Alam, Tuan Punya Bencana, Tuan Punya Masalah. Bukankah begitu? Dengan solat, hati kita rasa tenang dan tenteram. Rasa terjaga dan diperhatikan. Rasa punya kekuatan.
Bukankah begitu? Akhirnya manfaatnya kepada siapa?
Kepada kita bukan?
Kalaulah Alam ini gagal menurut kehendakNya
Bayangkan ya, bumi tidak mahu mengikut peraturan Allah SWT untuk menjaga jaraknya dengan Matahari, atau bergerak beredar di atas orbit yang ditetapkan. Apakah akan terjadi kepadanya?
Bayangkan ya, kalau air berkeras untuk tidak berkitar sebagaimana kitarannya hari ini. Apakah akan terjadi agaknya ya?
Bayangkan ya, kalau gunung ganang tidak patuh pada Allah untuk mencengkam bumi sebaik-baiknya. Apakah akan terjadi agaknya ya?
Bayangkan, matahari tidak patuh kepada Allah untuk berputar hanya pada tempatnya sahaja. Bagaimana agaknya kalau matahari itu bergerak jauh sedikit dari posisinya? Bagaimana agaknya ya?
Bukankah jawapan kepada semua soalan ini hanya satu?
KEHANCURAN.
Tidakkah kita memerhatikan?
Dan ini telah dibuktikan oleh tangan-tangan manusia sendiri. Apabila dengan tangan yang rakus itu manusia menarah gunung-gunung, menambak lautan, membunuh banyak haiwan dan tumbuhan, menggunakan bahan-bahan kimia yang tidak sepatutnya, lihatlah apa yang terjadi kepada dunia?
Bukankah kucar kacir? Ekosistem terganggu. Dan manusia terpaksa menghabiskan berbillion ringgit untuk menyelamatkan keadaan. Sedangkan Allah telah menyediakan semuanya dalam keadaan sempurna, tanpa memerlukan sesen pun duit manusia sebelum ini.
Itulah dia apabila kita memaksa alam untuk tidak patuh kepada Allah SWT.
Alam ini rosak.
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). Surah Ar-Rum ayat 41.
Dan bagaimana pula manusia yang tidak patuh kepada perintah Allah SWT untuk menyerahkan diri di dalam Islam sepenuhnya?
Tidakkah kita ini memerhatikan?
Penutup: Hairan. Memang menghairankan
Maka sepatutnya kita yang telah terdedah dengan bukti-bukti betapa Allah itu Maha Sempurna AturanNya, Maha Kemas AcuanNya, percaya sepenuhnya dengan apa sahaja yang Dia arahkan kepada kita. Taat sepenuhnya kepada apa yang Dia suruh, tinggal sepenuhnya apa yang telah Dia larang.
Jelas pada kita bahawa, melakukan apa yang Dia larang hanya akan membawa kecelakaan kepada kita.
Tidakkah kita memerhatikan? Sepatutnya pemandangan kita kepada apa yang berlaku kepada alam dan keadaan sosial dunia hari ini sudah cukup untuk membuatkan kita kembali kepada Allah SWT.
Amat menghairankan, apabila kita percaya bahawa 21% oksigen adalah aturan yang just nice untuk membolehkan seluruh bumi ini hidup dengan baik, dan pencipta aturan yang just nice itu adalah Allah, kemudian kita mempersoalkan pula apakah menutup aurat, menjaga pergaulan, jalankan sistem Islam, itu semua membawa kemunduran dan keburukan serta sebagainya.
Bagaimana?
Hairan bukan?
Cuba tanya diri sendiri akan hal ini.
Kalau kita benar-benar orang yang memerhati.

Tiada cinta sebelum nikah.

Tiada cinta sebelum nikah.
No love before akad.
Cinta hanya selepas kahwin.
Dan bla bla bla bla bla….
Ayat yang seringkali aku baca, dan sering kali aku dengar.
Tetapi, aku tak pernah sama sekali setuju dengannya.
Kerana pada aku, cinta sebelum nikah itu ada.
Aku kira, yang patut tiada sebelum nikah adalah hubungan intim seperti suami isteri. Cinta, pada aku, sebelum nikah lagi memang sepatutnya perlu diwujudkan.
Oh, lainlah kalau definisi cinta kamu, telah kamu rendahkan dengan menganggap ‘bercinta’ itu adalah ‘bercouple, pegang-pegang tangan, berhubungan tanpa batas’ dan sekutu-sekutunya.
Maaf. Cinta aku mahal, dan tidak serendah itu.
Sebab itu cinta aku yang mahal itu, wujud sebelum bernikah lagi.

Cinta yang sebenar
Couple itu maknanya cinta? Hubungan intim lelaki perempuan yang bukan mahram tanpa batasan itu cinta?
Maaf. Jika kamu panggil itu sebagai ‘bercinta’, tandanya kamu telah menjatuhkan harga cinta. Untuk aku, itu semua bukan cinta. Cinta adalah suci. Bersih. Dan ianya membawa ke syurga.
Cinta mestilah dibina dari keimanan, dan dicari berlandaskan petunjuk Allah SWT.
Cinta adalah perasaan, yang wujud di dalam jiwa dan diterjemahkan dalam bentuk amal.
Menolak sahabat ke dalam api, itu bukan namanya akung sahabat, walaupun sebelum menolak sahabat itu ke dalam api, sudah 1000 kali diucapkan: Ana saynag enta, sahabat ana.
Melempar pasangan ke dalam neraka, dengan melanggar arahan-arahan Allah, itu bukan namanya bercinta. Walaupun kamu sering gunakan perkataan ‘cinta’ dalam hubungan kamu.
Cinta lebih suci dari apa yang kamu jangka.
Dan ‘cinta’ yang asli ini, tidak sepatutnya diharamkan sebelum bernikah.
Cinta sebelum kahwin
Kalau benar cinta kepada pasangan kamu, maka kamu akan menjaga diri kamu dari laranganNya. Kamu tidak akan melempar pasangan kamu ke neraka dengan mengajaknya bermaksiat kepada Allah SWT.
Kalau kamu benar cinta, kamu akan meminta petunjuk Allah dan berkira-kira. Kamu akan list pro dan kontra serta muhasabah kembali perasaan yang hadir di dalam diri kamu. Kemudian bila benar-benar sudah tetap hatinya, lanjutkan dengan lamaran tanda kamu benar-benar serius. Yang lelaki boleh terus kepada keluarganya, yang perempuan boleh menghantar wakil untuk bertanyakan lelakinya.
Tapi pastikan kamu benar-benar siap. Bukan istikharah semata-mata. Tetapi ada perancangannya juga. Perancangan dunia kamu, dan perancangan akhirat kamu. Ini kalau kamu benar-benar cinta.
Kamu berhubungan atas perkara yang sangat-sangat-sangat penting sahaja dan kamu tidak berlengah-lengah dalam meninggalkannya ketika urusan selesai.
Untuk lelaki, kamu bina hubungan yang erat dengan kedua ibu bapanya, dan adik beradik lelakinya, untuk berta’aruf dengannya.
Untuk perempuan, kamu bina hubungan yang erat dengan ibunya dan adik beradik perempuanya, serta saudara mara perempuan yang dia ada untuk berta’aruf dengannya.
Kamu siapkan diri kamu untuk menjadi suami@isteri yang baik untuk pasangan kamu. Kamu tekankan pada diri kamu untuk lakukan perubahan dengan memandang bahawa kamu mesti hendak membahagiakan pasangan kamu sebahagia-bahagianya. Dan apakah yang lebih bahagia dari mendapat keredhaan Allah dan masuk ke syurga bersama-sama?
Dan pantaskan urusan perkahwinan kamu. Jatuhkan dengan segera perkara-perkara yang menghalang perkahwinan kamu dari berlangsung dengan cepat. Itu satu tanda cinta.
Kalau kamu tanya akan cinta aku.
Maka cinta aku begitulah.
Kamu yang syok sendiri tanpa memahami cinta
Kamu-kamu yang bercouple dan memusnahkan erti cinta yang sebenar, aku terkilan dengan kamu.
Kamu-kamu yang bercinta dengan cara yang salah, aku terkilan dengan kamu.
Hal ini kerana, wujudnya kamu dan kesalahan kamu, membawa kepada orang-orang tertentu mengharamkan terus cinta sebelum wujudnya pernikahan.
Kamu-kamu yang mengharamkan terus segala jenis cinta sebelum nikah, aku juga terkilan dengan kamu.
Islam datang mengajar kita mengawal perasaan. Bukan menghapuskannya.
Jadi yang halal diharamkan hanya kerana ada yang salah menggunakannya.
Maka sepatutnya dididik bagaimana untuk bercinta dengan sebenarnya.
Apakah jika ada orang belajar untuk membuat nuklear dan mengebom sesebuah tempat, maka ‘belajar’ itu diharamkan dan matapelajaran ‘nuklear’ itu patut diharamkan?
Semestinya tidak.
Apakah apabila Allah menimbulkan rasa cinta di dalam jiwa seseorang, kamu hendak menyalahkan Allah atas perasaan cinta yang Dia munculkan?
Maka sepatutnya kamu, membina satu garis yang jelas. Antara cinta, dan ‘cinta’.
Bukan hanya syok sendiri dengan ‘cinta suci’ buat ‘golongan kamu’ sahaja.
Aku tidak menghalalkan yang haram, juga tidak mengharamkan yang halal
Aku di sini bukan hendak menghalalkan yang haram. Aku nyatakan di sini, couple dan segala apa yang Allah larang, untuk aku itu semua bukannya cinta. Justeru apabila aku katakan cinta, couple tiada kaitan dengannya. Keluar berdua-duaan tiada kaitan dengannya, bergayut dalam telefon tiada kaitan dengannya. Sms-sms tak ada makna, atau sms-sms ‘tazkirah bohong’ tak ada kena mengena. Salut-salut nama ‘dakwah’ untuk meng’halal’kan perhubungan juga tak ada kena mengena.
Cinta yang aku kata ini, bebas dari semua itu.
Aku juga tidak akan sesekali mengharamkan yang halal. Sebab itu aku berdiri di sini dengan pegangan ini.
Untuk aku, yang halal bila disalah guna, benar ia menjadi haram.
Maka masalah di sini bukanlah yang halal itu.
Masalah di sini adalah ‘pengawalan’ itu.
Sekelompok manusia yang gagal mengawal, itu bukan bermakna ia haram untuk semua manusia. Lainlah perkara itu jelasnya haram secara qat’i, sebagaimana arak. Walaupun mungkin sekelompok sahaja yang mabuk, tetapi ia tetap haram kepada semua.
Cinta yang hakiki, bukannya arak!
Lihatlah dia, lihatlah kesederhanaannya
Guruku, mudirku, Ustaz Dahlan Mohd Zain, pernah satu hari membicarakan hal perkahwinan dan hubungan sebelum kahwin di dalam kelas. Keluar dari pelajaran kami yang sebenarnya, Fiqh Sirah Nabawi pada hari itu.
Lihatlah antara soalan yang muncul, dan bagaimana sederhananya jawapan dia.
“Ustaz, boleh ke kata cinta pada tunang kita?”
“Boleh, tapi kena benar-benar dengan cinta yang betul la. Bukan main-main”
Maka aku terjemahkan ‘benar-benar dengan cinta yang betul,’ itu, adalah apabila ia dipandu keimanan, di atas syara’, dan kena pada keadaan serta keperluan pengucapan itu. Bukan diucap atas dasar nafsu, atau semata-mata kerana rindu, atau kerana ingin bermanja-manjaan.
“Ustaz, boleh ke nak jumpa tunang?”
“Boleh, tapi kenalah bawa keluarga sekali. Ajak mak ayahnya makan bersama ke. Masa tu jumpa la.”
Bukannya tidak dibenarkan berjumpa langsung.
Tetapi ada caranya. Ada ketikanya. Ada adabnya.
Ustaz Dahlan mengajar aku, untuk tidak mengharamkan sesuatu yang halal, tetapi melihat apakah yang membawa kepadanya menjadi haram, dan membasmikan masalah itu.
Dan jawapan-jawapannya adalah jawapan yang menyenangkan jiwa. Lihatlah uslubnya.
“Boleh…” Mendengar jawapan ini terlebih dahulu, jiwa jadi lapang. Oh, Islam ini tidak berat ya…
“Tapi kenalah…” Dan syarat selepas itu menjadi ringan untuk dilakukan kerana hendak mencapai ‘boleh’ tadi.
Ustaz Dahlan, secara tidak langsung, menundukkan nafsu pada kawalan syara’ hanya dengan jawapannya yang mudah itu. Dan jawapannya sesuai untuk umum. Bukan hanya untuk orang dakwah sahaja, bukan hanya untuk yang tidak belajar agama sahaja. Jawapannya betul untuk semua.
Dan aku hidup dengannya, menyerap segala didikannya, jadilah aku sebagai aku.
Dan jadilah cinta aku seperti ini.
Penutup: Kamu, jangan murahkan cinta, dan memandang rendah kepadanya
Kamu, jangan murahkan cinta dan memandang rendah kepadanya.
Jangan kamu salahkan cinta kerana kesalahan-kesalahan kamu atau orang lain.
Kalau kamu lemah hendak mengangkat cinta pada pundakmu, maka kuatkanlah dirimu itu. Bukan memandang rendah orang lain, atau meyalahkan orang lain, yang bercinta dengan cintanya yang betul.
Aku tidak mewajibkan cinta sebelum nikah. Tetapi yang aku ingin jelaskan di sini adalah, jika ia wujud, maka itu bukan satu kesalahan. Yang perlu adalah pengawalan agar ia tidak keluar dari definisi cinta yang sebenar.
Definisi cinta aku adalah = ingin masuk syurga bersama.
Apakah cinta kalau melempar pasangan ke neraka?
Untuk aku, inilah dia kefahaman aku. Inilah dia cinta aku.
Oh ya, dan aku belum bernikah.