Jumaat, 17 September 2010

Alasan remeh putus tunang







soalan saya
SAYA berusia 26 tahun dan mengikat tali pertunangan pada Julai lalu. Keluarga kami setuju menikahkan kami pada Disember tahun ini. Malangnya baru-baru ini tunang saya membatalkan pernikahan kami.
Dia menyatakan belum bersedia menunaikan tanggungjawab sebagai isteri. Untuk pengetahuan Dang Setia, dia kakitangan kerajaan dan sering sibuk dengan urusan kerja.

Hubungan kami hambar sejak dia bekerja dengan kerajaan hinggakan tiada masa untuk saya. Satu-satunya masa kami bersama di hujung minggu turut diisi dengan dia menyiapkan tugasan kerja.

Saya reda dan faham atas kehendak kerja dia. Saya beri dia ruang dan masa memikirkan sama ada dia sanggup berkorban (meluangkan lebih masa) jika kami berkahwin.

Seperti saya nyatakan tadi, dia membatalkan pernikahan kami kerana tidak sanggup berkorban. Lain-lain sebab adalah kami sering bergaduh kerana dia tidak dapat meluangkan masa untuk bersama saya dan dia katakan saya sering mendesaknya menutup aurat dengan sempurna.

Sudah pasti saya tidak mahu bakal isteri saya mendedahkan auratnya pada yang bukan muhrim. Saya banyak berkorban untuk dia tetapi dia tidak sanggup berkorban untuk saya. Saya sedar saya banyak memaksa dia.

Saya benar-benar cinta dan sayangkan dia. Kami kenal empat tahun tetapi dia memilih untuk berpisah kerana tidak sanggup berkorban. Harap Dang Setia dapat memberi nasihat kepada saya.

jwp
Dang Setia
Bagi menjawab masalah saudara, Dang Setia ingin merujuk kepada buku Petua Orang Cemerlang oleh pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Petua ke-32 daripada 55 petua dalam buku itu ada menyebut, orang cemerlang sentiasa kreatif dalam menyelesaikan masalah seperti pepatah Inggeris ‘think out of the box’. Penyelesaian masalah sering berpunca daripada sumber yang tidak disangka-sangka.

Merujuk kepada masalah saudara, Dang Setia berpendapat saudara perlu mengkaji sebab sebenar mengapa bekas tunang saudara membatalkan perkahwinan dan tidak menerima bulat-bulat alasannya iaitu belum bersedia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.

Ini kerana logik akal seorang yang neutral seperti Dang Setia sukar mempercayai alasan diberi bekas tunang saudara. Alasan diberikannya seolah-olah ingin melarikan daripada realiti sebenar, iaitu hatinya sudah berbelah bagi.

Maaf kerana Dang Setia berpendapat sedemikian. Jika saudara sukar menerima kenyataan itu, cuba siasat masalah sebenar bekas tunang saudara, mungkin ada udang di sebalik batu.

Seperkara lain, sukar untuk mempercayai alasan bekas tunang saudara iaitu dia sibuk dengan tugasannya sebagai kakitangan kerajaan. Sesibuk mana pun seseorang individu, kalau hatinya sudah berpunya dan bertaut erat, dia pasti mampu meluangkan masa bersama teman tersayang. Itu adalah lumrah dunia.

Jika siasatan saudara masih menemui jalan buntu, elok rasanya saudara bersemuka dengan bekas tunang dan minta jasa baiknya memberi penjelasan sebenar, mungkin untuk sekian kalinya.

Jawapan diberi mungkin menyakitkan hati, tetapi itulah hakikat kehidupan. Setiap individu pasti berdepan masalah, tetapi sejauh mana kemampuan kita mengatasi masalah, itu yang membezakan individu cemerlang.

Petua ke-48 dalam buku itu pula ada menyebut orang cemerlang sentiasa fokus pada prioriti (keutamaan) yang seimbang. Sukar mencapai kejayaan hakiki apabila kita mengabaikan satu aspek dalam kehidupan kita.

Keutamaan utama saudara sekarang ialah mengatasi masalah peribadi itu terlebih dulu. Selesaikannya secepat mungkin supaya saudara dapat memandang ke depan.

Banyak cara untuk menyelesaikan, antaranya mencari pengganti bekas tunang saudara secepat mungkin. Letakkan sasaran dan tanamkan azam pada diri bahawa saudara mampu mencari pengganti lebih baik untuk dijadikan isteri.

Pada usia 26 tahun dan sebagai lelaki, saudara masih ada banyak masa. Justeru, jangan terburu-buru mencari isteri terbaik. Mungkin filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee bertajuk ‘Musang berjanggut’ boleh dijadikan panduan.

Sebagai anak raja, dia mengembara untuk mencari perempuan dan bukan betina. Justeru, akhirnya dia bertemu Puspa Wangi yang lengkap dijadikan permaisuri hidupnya. Dang Setia doakan moga saudara juga bakal beroleh jodoh terbaik, mungkin bukan dengan bekas tunang saudara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan